Translate

Sabtu, 24 Mei 2014

Trauma Dirasuk

Kejadian ‘diganggu’ ketika menjayakan filem seram antara risiko yang perlu dilalui pelakon dan juga kru penggambaran kerana lokasi dipilih biasanya tempat yang memang menyeramkan.
Walaupun langkah berjaga-jaga diambil dengan melantik ustaz di lokasi membaca ayat suci al-Quran untuk mengelak gangguan, ada kalanya masalah diganggu tetap berlaku
 
Itulah juga dilalui pelakon Shima Anuar, 22, ketika menjayakan filem Highland Towers arahan Pierre Andre di lokasi kejadian tragedi Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor yang berlaku pada 11 Disember 1993.

Ia merupakan tragedi runtuhan satu daripada tiga blok kondominium 12 tingkat yang juga pertama dan terburuk negara apabila mengorbankan 48 nyawa. Walaupun dua blok lain tidak terjejas, pihak berkuasa mengatakan ia tidak selamat diduduki menyebabkan semua penduduk berpindah dan kawasan itu terbiar dengan semak-samun.


Pelakon yang mula dikenali melalui filem 7 Petala Cinta ini turut mengakui agak sukar bagi mereka yang berada di lokasi ketika itu untuk membezakan antara lakonan dan realiti apabila dirinya mula berubah. Mungkin ada yang menyangka dirinya menjiwai wataknya ketika itu.

“Sebenarnya ketika itu saya bukan diri saya yang sebenar sebaliknya sudah dirasuk. Dalam filem ini, saya memegang watak diri sendiri sebagai Shima yang menjadi pengacara untuk satu program televisyen.

“Shima mahu buat satu dokumentari mengenai para normal dan memilih lokasi popular tragedi Highland Towers. Lokasinya saja memang seram di tempat kejadian sebenar dan banyak cerita yang diperkatakan orang sebelum ini. Tambah pula keseluruhan penggambaran dilakukan pada waktu malam.

“Kejadian saya dirasuk itu berlaku pada waktu Maghrib pada hari pertama penggambaran. Ketika itu saya asyik mengambil gambar di sekitar kawasan itu sebagaimana watak pengacara itu untuk bahan kajiannya.

“Ketika itu saya mula rasa tidak sedap hati apabila banyak benda lain turut dirakamkan pada kamera seperti kepala orang dan kain kafan. Saya mula rasa lain macam seolah-olah bukan diri saya sendiri. Saya pandang orang lain tanpa berkata apa-apa.

“Saya difahamkan, agak lama juga saya berkelakuan seperti itu. Mujur ada yang perasan perubahan diri saya dan cepat membantu,” katanya.

Kata Shima, memang mereka ada buat langkah berjaga-jaga dengan membawa ustaz ke lokasi dan akan memulakan penggambaran dengan bacaan doa tetapi kejadian seperti itu tidak dapat dapat dielakkan.

“Menurut ustaz, saya paling lemah semangat antara yang lain di situ menyebabkan saya paling cepat kena ganggu. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan komitmen saya pada kerja dan penggambaran dapat disiapkan dalam masa seminggu iaitu dari 23 hingga 30 April,” katanya.

Kata Shima, ini kali kedua dia bekerja dengan Pierre selepas Cerita Kita. Baginya, Pierre pengarah berbakat dan mudah bekerja dengannya.

“Dia bukanlah pengarah yang suka marah-marah sebaliknya mudah diajak berbincang. Apabila pelakon itu sudah set wataknya bagaimana, dia memberi sepenuh kebebasan. Dalam filem ini, saya memegang watak diri sendiri dan saya rasa sangat relaks,” katanya.

Apa pun, Shima akui dirinya agak kepenatan dan tidak cukup rehat ketika memulakan penggambaran Highlands Towers kerana baru beberapa hari selesai penggambaran filem Jangan Pandang Belakang Boleh di Kuala Kangsar, Perak selama 23 hari.

“Memang tiada rehat panjang selepas selesai satu filem. Kalau boleh, sebaiknya memang perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu kerana jadual penggambaran di lokasi begitu ketat dari pagi sampai ke pagi hingga tiada waktu untuk berehat.

“Tapi hendak buat macam mana, sudah tuntutan kerja saya. Kalau dapat rehat seminggu, dapat beri lakonan yang segar untuk karya yang baru,” katanya.

Filem Jangan Pandang Belakang Boleh arahan Ismail Bob Hashim adalah parodi dari filem pecah panggung Jangan Pandang Belakang yang sebelum ini diarahkan Ahmad Idham. Jalan cerita sama tetapi dijayakan pelakon berbeza. Kalau dulu watak utama, Seri dijayakan Intan Ladyana bersama Pierre Andre, kali ini diserahkan kepada Shima dan Zalif Sidek.

Bukan hanya barisan pelakonnya berbeza, pengarah juga cuba membawa kelainan melalui karakter Seri. Kalau sebelum ini Seri agak serius di tangan Intan Ladyana, kali ini Shima bawakan Seri sebagai gadis kasar dan penuh dengan unsur komedi.

Tiada ulasan: